Monday, September 2, 2013
Fasa bertapa
Setelah melalui beberapa fasa dalam proses kedewasaanku, belum pernah terlintas di benakku aku akan melalui fasa yang satu ini. Dan aku namakannya fasa bertapa. Aku akan bertapa buat sementara waktu. Jauh dari semua. Aku mahu pejam mata. Aku mahu tutup telinga. Aku mahu kunci mulut. Jangan kau cuba memanggil aku. Jangan kau cuba memujuk rayu aku. Jangan kau cuba menangi hati aku. Jangan kau cuba menyentuh perasaanku.
Jiwa aku sedang bersalut lumpur. Lumpur yang sudah kering dan susah untuk ditanggalkan.
Hati aku penuh kekotoran. Entah bagaimana cara untuk menyucikannya semula.
Perasaan aku berkecamuk. Jauh sekali menemui tenteram.
Hidup aku kosong, sepi, sunyi. Hanya dihuni tawa palsu.
Kini aku di persimpangan. Beberapa simpang yang aku tidak pasti bagaimanakah jalannya. Adakah lurus atau mungkin berliku dan berlopak? Aku cuma nampak petanda arah tapi aku tidak yakin adakah aku bakal selamat sampai ke destinasi. Jalan yang satu ini nampak cantik di permulaannya namun adakah indah khabar dari rupa? Jalan yang itu pula nampak biasa sahaja di pandangan mata tapi mungkin juga ia lebih cantik dari yang tadi di pengakhiran musafirku. Ahh, aku bingung!
Aku harus memilih dan membuat keputusan. Aku tahu setiap keputusan yang aku buat sekarang akan menentukan rupa masa hadapanku. Cantikkah ia atau rabakkah ia? Aku ingat aku masih anak kecil berambut tocang dua, berlari-lari bersama gaun paras paha tanpa perlu memikir masalah dunia. Rupanya aku kini sudah gadis di awal 20an yang harus bertarung dengan diri sendiri demi percaturan hidup.
Ya Tuhan, bantu aku. Tunjukkan sinar kebahagiaan. Aku ingin sekali berubah. Namun, aku harus membuat pilihan untuk bahagia. Yang di sini baik, yang di sana juga elok. Yang di sini bersinar, yang di sana juga berkilau. Yang di sini berharga, yang di sana juga bernilai. Yang di sini memdamaikan, yang di sana membahagiakan. Yang di sini menjanjikan emas, yang di sana menjanjikan permata. Bagaimana harus aku memilih?
Fasa bertapa. Pulihkan hati, ubati jiwa, luruskan niat, bersihkan semua. Neutralkan semula. Semoga aku beroleh petunjuk setelah tamat fasa pertapaanku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Please click 'Older Posts'
The Loner says Thank You =)
No comments:
Post a Comment